Date:
Monday, October 22, 2018

Pada 19 Oktober 2018, MaCGDI, KATS telah menerima kunjungan rasmi daripada Pensyarah dan ahli akademik yang melibatkan dua (2) buah negara iaitu Malaysia dan Indonesia. Delegasi lawatan terdiri daripada dua (2) orang Pensyarah Pusat Pengajian Sains Ukur Dan Geomatik (PPSUG), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan lima (5) orang ahli akademik Departmen Teknik Geomatika, Institut Teknologi Sepuluh Nopember (ITS) Surabaya, Indonesia. Lawatan ini merupakan lawatan rasmi kali kedua pada tahun ini dari negara Indonesia selepas MaCGDI menerima lawatan Universiti Diponegoro pada Februari yang lalu.

ITS telah merancang untuk melawat Malaysia dengan misi untuk menjalankan penyelidikan dan kolaborasi dengan institusi-institusi berkaitan geospatial di negara ini. Oleh itu, selaku rakan kongsi ITS dalam penyelidikan, pihak PPSUG UiTM Shah Alam yang diketuai oleh Dr. Eran Sadek bin Md Sadek mengadakan lawatan akademik ke MaCGDI untuk mendapatkan maklumat di samping mengadakan perbincangan berkaitan penyelidikan yang bersesuaian di antara pegawai MaCGDI, UiTM Shah Alam dan ITS. Pihak MaCGDI difahamkan bahawa ITS turut dibawa melawat ke agensi lain seperti Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

MaCGDI yang diterajui oleh Puan Abrizah binti Abdul Aziz selaku Pengarah, telah menyantuni delegasi lawatan dengan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kerana sudi memilih MaCGDI sebagai salah satu destinasi lawatan antarabangsa mereka.

MaCGDI telah berpeluang membentangkan taklimat ringkas berkenaan MaCGDI dan Program MyGDI serta tiga (3) aplikasi utama MyGDI iaitu MyGDI Explorer, MyGeoMap dan MyGOS. Delegasi lawatan turut berkongsi pengetahuan dan pendapat berkaitan teknologi serta kaedah perkongsian geospatial sedia ada di negara mereka.

Pihak MaCGDI berharap agar aktiviti seperti ini dapat merapatkan hubungan di antara institusi akademik di dalam dan luar negara dengan agensi yang terlibat menguruskan data geospatial di Malaysia.

Clik here to view Photo Gallery.

Source : https://www.mygeoportal.gov.my/news/lawatan-pusat-pengajian-sains-ukur-dan-geomatik-ppsug-universiti-teknologi-mara-uitm-shah-alam